Petani gusar sawah digenangi air




Ahmad menunjukkan parit yang mengalirkan air dari sawah kini sudah dibina tembok hingga menghalang laluan air.


PADANG BESAR - Kira-kira 20 petani gusar apabila sawah mereka di Jalan Padang Melangit, di sini, terus digenangi air setelah parit utama yang mengalirkan air keluar ditimbus tanah dan dibina tembok bagi tujuan pembangunan oleh pemilik tanah.



Menurut Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri, Ahmad Ismail, 67, sekiranya masalah itu berlarutan petani di kawasan akan terjejas dan mengalami kerugian pada musim ini.



Katanya, kerja-kerja membajak serta menanam sepatutnya sudah boleh dijalankan namun proses itu terbantut apabila air masih bertakung di sawah kira-kira seluas 20 hektar itu.



"Sebagai petani kami sangat bergantung kepada hasil padi, sekiranya kami tidak dapat menanam padi musim ini, keluarga kami yang akan terjejas, jadi saya sangat berharap pihak berwajib dapat membantu kami membina parit baru bagi mengalirkan air dari dalam sawah.



"Itu hak tuan tanah untuk meratakan tanahnya, cuma sekarang ini kami harap sangat jabatan berkenaan serta wakil rakyat dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah yang kami hadapi, mungkin ada cara lain yang boleh diusahakan supaya kami boleh terus mencari rezeki," katanya.



Ahmad berkata, sebagai ketua unit pihaknya memanjangkan masalah tersebut kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Adun Santan, Datuk Sabri Ahmad bagi menyelesaikan masalah tersebut.



Sementara itu, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri, Shaidan Nordin berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah berkenaan dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan jawatankuasa unit peladang di kawasan berkenaan serta pemilik tanah tersebut.



"Kami juga akan menjemput Datuk Sabri bagi sama-sama berbincang serta menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah berbangkit, masalah ini seharusnya dapat diselesaikan dengan cara muafakat.



"Kita mahu wujudkan situasi menang-menang antara pemilik tanah dan juga pesawah di sini yang telah sekian lama mengerjakan sawah di situ," katanya.