Bayi lima bulan cedera dibawah jagaan taska






Kuala Lumpur: Seorang bayi berusia lima bulan mengalami luka di muka dan tangan, dipercayai akibat digigit dan dicakar ketika dibawah jagaan pengasuhnya di sebuah taska di Pandan Indah, kelmarin.



Bayi perempuan berkenaan, Nur Ameena Nabila luka pada hampir keseluruhan mukanya, selain pergelangan tangan kanan dan telinga serta gusinya.



Bapa mangsa Ahmad Mat Seman, 44, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan pengasuh yang menghubungi isterinya, Izurni Ibrahim, 38, kira-kira jam 1.45 petang untuk memintanya mengambil anak mereka.



"Sebaik tiba, saya terkejut apabila melihat keadaan anak yang penuh luka kesan gigitan dan calar.



"Saya ada meminta penjelasan daripada pengasuh wanita itu dan dia mendakwa anak saya digigit dan dicakar kanak-kanak lain ketika dia sedang membancuh susu," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.



Menurutnya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah sebelum membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.