Sarjan tentera dipecat kerana tolak vaksin Covid-19, hilang pencen

#BHnasional Tidak boleh dipersoalkan di mahkamah awam - Peguamhttps://bit.ly/3grlvb0ATM ada budi bicara pecat anggota​ ​ Ogos 24, 2021 @ 8:25pm

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh menggunakan kuasa budi bicara dalam menamatkan perkhidmatan anggota yang mengingkari perintah, tanpa memberi peluang membela diri.

Peguam Leftenan Komander (B) Zalil Mohd Mess, berkata budi bicara itu amat luas dan anggota terbabit boleh diberhenti pada bila-bila masa dan ia tidak boleh dipersoal di mahkamah awam.

Katanya, anggota yang diberhenti juga tidak boleh mempersoal keputusan berkenaan, walaupun itu kelihatan tidak wajar atau munasabah.

"Mengikut peruntukan undang-undang, seorang askar tidak boleh mengingkari perintah yang sah mengikut tafsiran dalam Buku Panduan Angkatan Tentera … memerintahkan seorang anggota diberikan rawatan elektrik atau memakan ubat atau dadah suatu perintah yang sah di sisi undang-undang.

"Sesiapa yang mengingkarinya boleh dituduh mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972 dan dibicarakan oleh Mahkamah Tentera yang hukuman maksimum ialah penjara 14 tahun dan di berhenti daripada perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Dengan berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Terma Perkhidmatan bagi Angkatan Tetap) 2013, Panglima perkhidmatan di bawah peraturan 61(1) diberikan kuasa budi bicara untuk memberhenti askar laskar atas alasan perkhidmatan tidak lagi dikehendaki, atau demi kepentingan perkhidmatan yang memerlukan tindakan sedemikian," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kes seorang anggota tentera Sarjan Wan Ramli Wan Seman yang mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin COVID-19.

Wan Ramli, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan terdedah kepada kehilangan keistimewaan yang diperuntuk mengikut Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Pencen dan Faedah-Faedah Perkhidmatan) 1981.

Sementara itu, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz, berkata Akta Angkatan Tentera 1972 memperinci undang-undang berkaitan pengambilan dan pemecatan dan kontrak kerja yang mungkin ditandatangani di antara ATM dan anggotanya (sekiranya ada), dan sebarang persoalan perlu merujuk kepada akta berkenaan.

Beliau berkata, akta itu membenarkan ATM memecat anggotanya (tertakluk kepada prosedur yang perlu dipatuhi), manakala Perintah Atasan atau Perintah Tetap boleh menyebabkan seseorang anggota dipecat jika gagal mematuhinya.

Katanya, jika wujud sebarang perintah atasan atau perintah tetap yang dikeluarkan ATM dalam mewajibkan vaksinasi, asas itu yang akan digunakan untuk memecat anggota yang tidak mahu divaksinasi.

"Berbalik kepada skop kerja seorang anggota tentera, vaksinasi amat penting kerana membabitkan interaksi dengan anggota lain, dan keselamatan negara (sekiranya ramai askar dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia kerana keengganan untuk divaksin).

"Bagaimanapun, ini tidak bermaksud ATM atau majikan boleh memecat pekerja d engan sewenang-wenangnya hanya disebabkan pekerja tidak mahu divaksin.

"Oleh kerana perihal pengambilan dan pemecatan tertakluk kepada akta, perintah dan kontrak perkhidmatan (jika ada) yang dimasuki di antara seorang anggota tentera dan ATM, pemecatan atas alasan keengganan divaksinasi masih perlu melalui proses yang sama dengan pemecatan atas alasan lain," katanya.

Muhammad Akram berkata, seperti perkhidmatan bukan tentera, proses pemecatan perlu dilakukan oleh majikan dengan teliti dan mengikut prosedur yang betul.