Jalan berlubang perangkap maut




Norlily dan Abdul Rahman menunjukkan antara lubang di selekoh jalan utama Taman Mutiara yang menjadi penyebab berlakunya kemalangan dan kerosakan pada kenderaan pengguna.


KULIM - Keadaan jalan utama Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini menggusarkan penduduk dan pengguna di kawasan tersebut ekoran wujudnya berpuluh lubang yang boleh mendatangkan bahaya.



Penduduk, Norlily Mohd Odin, 44, berkata, keadaan jalan utama di kawasan perumahan tersebut semakin teruk berikutan masalah itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu tanpa ada sebarang penambahbaikan.



Malah katanya, kemalangan juga kerap berlaku apabila kebanyakan kenderaan terutama motosikal yang ingin mengelak lubang tersebut terbabas dan bergesel dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.



"Banyak sudah kes kemalangan berlaku di situ sehingga merosakkan kenderaan mereka.



"Penduduk di kawasan Taman Mutiara melebihi 10,000 orang dan menggunakan laluan itu hampir setiap hari. Jalan itu memang sesak terutama pada waktu puncak," katanya.



Manakala Abdul Rahman Yakub, 34, pula berkata, lubang yang wujud itu berpunca dari hakisan dan juga laluan kenderaan berat yang semakin lama semakin teruk dan dalam.



"Di kawasan selekoh juga ada lubang dan mengundang risiko kemalangan kepada orang ramai terutama kepada pelajar yang melalui jalan itu" katanya.



Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan segera membaiki jalan yang rosak tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku termasuk kemalangan maut.



"Saya harap pihak berkenaan segera mengambil tindakan sama ada menurap jalan atau sebagainya.



"Walaupun penduduk telah mengambil inisiatif dengan menambun jalan menggunakan tanah dan meletakkan batu, namun ia hanya untuk jangka masa sementara sahaja. Masalah tetap tidak dapat diatasi," katanya.